Zakat menurut istilah adalah tumbuh atau bertambah dalam satu-satu perbuatan kebaikan. Dalam erti kata lain, daripada sudut agama, zakat adalah rukun Islam yang keempat yang mewajibkan setiap muslim mengeluarkan sebahagian hartanya kepada orang yang berhak menerimanya mengikut syarat-syarat yang ditentukan.
Dalam Al-Quran, Allah s.w.t menjelaskan, maksudnya:
“Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka kerana dengan berzakat kamu akan membersih dan ,menyucikan mereka”
(Surah at-Taubah,ayat 103)
Allah s.w.t menjelaskan lagi, bersuci dan berzakat mempunyai hubungan yang rapat kerana dengan zakat mampu membersihkan hati dan menyucikan diri daripada sifat-sifat tamak atau kedekut.
Secara umumnya, perbuatan keji dan maksiat adalah najis di dalam hati yang perlu disucikan. Ia juga ibarat kuman yang melekat pada tubuh atau debu halus sama ada kelihatan ataupun tidak. Apabila dibiarkan, lama kelamaan ia memudaratkan diri sendiri.
Tubuh yang bebas daripada kuman kelihatan sihat dan mempercepatkan pembesaran. Tetapi tubuh yang berpenyakit sudah tentu memerlukan rawatan supaya ia tidak merebak ke anggota tubuh yang lain.
Begitu juga halnya dengan hati yang sudah dihinggapi penyakit, ia perlu dirawat. Namun, merawat hati yang dipenuhi dengan segala kekotoran, ia perlu dilakukan dengan cara bertaubat.
Apabila hati sentiasa bersih dan suci, ia memudahkan segala perjalanan hidup. Hati ibarat raja didalam tubuh. Hati yang bersih suci memerintah segala anggota badan melakukan perkara yang baik dan diredhai Allah s.w.t. Sesungguhnya hati yang suci bersih mempercepatkan dan mempermudahkan segala urusan dengan Allah s.w.t.
No comments:
Post a Comment